Umat Islam Dikurnai Tiga Keistimewaan 
  Oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang 
 
ALLAH SWT telah mengurniakan kepada umat Islam tiga keistimewaan penting yang menjadi punca kemuliaan, kemenangan dan kebahagiaan mereka di dunia dan di akhirat, sekiranya mereka menyedari kepada perkara-perkara tersebut. 

Pertama ialah keistimewaan yang terletak kepada ajaran Islam itu sendiri yang menjadi nikmat yang tidak boleh dibanding dengan segala nikmat lain yang tidak terhingga yang dikurniakan oleh Allah kerana segala nikmat yang dapat dilihat di dunia ini akan hilang setelah kita meninggal dunia. 

Adapun nikmat Islam yang dikurniakan oleh Allah akan berpanjangan, bermula dari dunia hingga akhirat.Islam yang dikurniakan itu diiktiraf dan diisytiharkan oleh Allah satu-satunya yang benar, manakala yang lainnya adalah tidak benar. 

Firman Allah yang bermaksud:"Sesungguhnya `Din' di sisi Allah ialah Islam." (Surah Ali Imran: 19) 

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud:"Dan sesiapa yang menuntut (mencari dan berpegang)  kepada yang lain daripada Islam, maka dia tidak diterima dan di akhirat nanti termasuk di kalangan orang-orang yang rugi." (Surah Ali Imran: 85) 

Islam kurniaan Allah telah dibuktikan amalannya oleh Rasulullah s.a.w. dengan cara yang menyeluruh sebagaimana bukti ternyata dengan jelas apabila masyarakat Arab Badawi yang tinggal di padang pasir kering kontang, dengan berpegang dan yakin kepada Islam serta beramal dengan seluruh ajaran Islam, masyarakat Badwi yang buta huruf menjadi bangsa yang mulia, memimpin dunia, mengajar manusia perkara dunia dan perkara akhirat, mengajar manusia erti kebenaran, erti keadilan, erti hidup serta mati yang sebenarnya. 

Islam merupakan keistimewaan yang sangat penting, tetapi ianya telah dilupai oleh umat Islam di zaman mutakhir ini apabila sebahagian besar daripada meeka membawa masuk ke dalam diri dan tanah air mereka ajaran-ajaran yang lain daripada Islam yang tiada kena mengena langsung dengan Islam, kononnya untuk mengejar kemajuan dunia. 

Dunia yang dikejar tidak boleh dicapai oleh mereka, di samping mereka rugi di dunia dan rugi di akhirat. 

Keistimewaan yang kedua yang dikurniakan oleh Allah kepada umat ini ialah umat yang telah menerima Islam dengan jumlah yang ramai tersebar di seluruh pelusuk dunia, diikatkan dengan hubungan Aqidah Islamiyyah dan dengan iman. 

Hubungan iman dan aqidah ini dinyatakan lebih erat daripada hubungan keluarga, hubungan darah, hubungan keturunan, hubungan bangsa, hubungan tanah air dan segala hubungan yang lain. 

Hubungan yang diisytiharkan oleh Allah dengan firman-Nya yang bermaksud:"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara." (Surah Al-Hujurat: 10) 

Hubungan yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadisnya yang bermaksud:"Bandingan hubungan persaudaraan di kalangan orang-orang yang beriman itu seperti anggota pada satu jasad. Apabila satu anggota merasa sakit, maka seluruh anggota akan berjaga dan demam (kerana merasai kesakitan itu)." 
  
Inilah ikatan hubungan secara Islam, hubungan iman yang dijalankan oleh Rasulullah s.a.w., bukan sahaja melalui sabda dan ucapan tetapi juga melalui amalan dan perbuatan. 

Rasulullah telah mempersaudarakan di antara Muhajirin dan Ansar, di antara Qabilah-qabilah Arab yang dahulunya berperang dan bermusuh di antara satu sama lain, telah melupai permusuhan dan peperangan yang berlaku selama ini, walaupun membunuh keluarga dan orang yang dikasihi.Islam telah melupakan segala sifat jahiliyyah yang dibawa oleh peperangan sebelum mereka menerima Islam. 

Dan mereka menjadi orang-orang Islam yang bersaudara serta kuat sehingga angkatan Islam yang pertama menegakkan negara Islam di Madinah dapat menguasai orang-orang yang bukan Islam di negeri itu dan seluruh Semenanjung Tanah Arab walaupun jumlah orang-orang yang bukan Islam berlipat kali ganda lebih besar daripada jumlah orang Islam. 

Ikatan persaudaraan Islam yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. telah membuahkan kekuatan umat yang memberi kemuliaan kepada umat Islam tetapi ikatan ini telah dilupai oleh umat Islam. 

Mereka melupai hubungan iman dan aqidah oleh kepentingan hawa nafsu, harta benda, pangkat dan perasaan yang tiada kena mengena dengan Islam, sehingga mereka menjadi umat yang bercerai-berai, umat yang berpecah- belah, umat yang lemah dan boleh dipermainkan oleh musuh dengan mudah. 

Keistimewaan yang ketiga kurniaan Allah kepada umat Islam ialah seluruh bahan kebendaan yang menjadi bahan yang penting kepada kehidupan di dunia ini diletakkan di tanah air umat Islam seperti petrol, besi dan sebahagian besar sumber-sumber pertanian.Nikmat yang diberi oleh Allah tidak ditunaikan dengan cara yang sebenar sebagaimana diperintah oleh Allah. 

Mereka tidak menunaikan zakat dengan cara yang sebenar, mereka tidak menunaikan sedekah dengan cara yang bersungguh-sungguh, mereka tidak menunaikan sumbangan Fi Sabilillah bagi menegakkan agama Allah dengan cara yang diperintah oleh Allah. 

Maka nikmat yang diberi oleh Allah tidak memberi apa-apa kekuatan dan kemuliaan kepada mereka sehingga nikmat yang diberi itu membakar diri mereka sendiri, digunakan oleh musuh-musuh untuk membunuh umat Islam di mana sahaja mereka kehendaki, apabila umat Islam tidak menyedari akan nikmat yang diberi oleh Allah dan bersyukur dengan nikmat kebendaan dan bahan kebendaan yang dikurniakan oleh Allah. 

Inilah yang diberi amaran oleh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:"Demi Allah, aku tidak bimbang kamu menjadi fakir, tetapi aku bimbang dibentangkan kepada kamu dunia sebagaimana dibentangkan kepada umat-umat yang terdahulu daripada kamu lalu kamu berkelahi sebagaimana mereka berkelahi, maka dunia membinasakan kamu sebagaimana pernah membinasakan umat-umat terdahulu." 

Marilah kita membuat perhitungan sejauh mana pegangan kita dengan Islam, sejauh mana persaudaraan kita di atas dasar Islam, sejauh mana kita menggunakan nikmat yang dikurniakan oleh Allah sebelum kita dihisab di hadapan Allah. 

Allah berfirman:"Dan takutlah kamu pada hari kamu semua akan dikembalikan kepada Allah lalu ditunaikan kepada tiap-tiap diri akan apa yang dilakukan dan usahakan dalam keadaan mereka itu tidak dizalimi sedikitpun." (Surah Al-Baqarah: 281).