From: Hafidzi <hafidzi@AGRI.UPM.EDU.MY>
To: ISLAH-NET@OUTLET.hijau.com.my <ISLAH-NET@OUTLET.hijau.com.my>
Subject:      [ISLAH-NET] Ramadhan menjelang lagi 3
Date: Friday, January 02, 1998 4:26 PM

Assalamualaikum,

Netters yang muslim sekelian. Menyambung persoalan kedudukan ibadah khususiyah
berupa solat, saum (puasa), zakat dan haji; kita perlulah memeliki pengetahuan
dan kesedaran tentang betapa ibadah-ibadah tersebut sangat 'essential' bagi
seorang muslim. Ibadah-ibadah ini merupakan 'teras' kehidupan yang tanpanya
kehidupan itu sendiri tidak dapat dibentuk menurut apa yang dikehendaki oleh
Allah swt.

Ianya bukanlah ritual semata-mata sehingga disempurnakan asal dikerjakan
sahaja menurut syarat-syarat sahnya dan kemudian seseorang itu terlepas dari
tuntutannya. Ibadah solat dan puasa termasuk zakat dan haji yang sedemikian
ditakuti akan menjadi adat kebiasaan semata kerana telah kehilangan ruhnya
yang sebenar. Orang ramai bersembahyang maka kitapun bersembahyang kerana kita
telah dibekalkan dengan pengetahuan serta dibiasakan dari kanak-kanak untuk
sembahyang. Orang berpuasa kitapun berpuasa kerana itu telah sedia dimaklumi
apabila datangnya Ramadhan maka seluruh umat Islam berpuasa. Begitu menjadi
'adat'nya ibadat puasa sehingga mereka yang lalai, cuai dan adakalanya
jarang-jarang bersembahyangpun turut berpuasa dan bukan itu sahaja, puasanya
penuh dan sembahyang terawikh sekali-sekala pula lagi. ...berapa ramai orang
yang menyempurnakan haji dan umrah (setiap tahunpun ada) tetapi kehidupannya
tetap tidak berubah - aurat terus tidak dipelihara, sembahyang terus
ditinggalkan, dan dia tidak pula berusaha untuk membentuk kehidupan
berdasarkan iman yang sebenar.

Semuanya ini saudara/i adalah petanda-petanda bahawa ibadat-ibadat khusus tadi
telah diambil sebagai adat dan tidak lagi berfungsi sebagai ibadat.
Ibadat-badat khusus yang telah ditaklifkan (diwajibkan) ke atas setiap muslim yang mukallaf punya objektifnya yang khusus iaitulah untuk membentuk kehidupan agar
kehidupan itu sendiri menjadi ibadah kepada Allah swt. Inilah dia tujuan sebenar kepada
penyempurnaan ibadah-ibadah tadi agar kehidupan juga turut disempurnakan
menurut ketetapan Allah swt iaitu menjadi ruang lingkup ibadah yang luas dan
menyeluruh.

Kegagalan kita memahami kedudukan ibadah tadi menyebabkan kita memisahkannya
dari kehidupan kita sehari-hari. Dalam sembahyang kita pelihara aurat kita
tetapi di luar sembahyang kita bukan sahaja mendedahkan aurat malah melanggar
pula batas-batas pergaulan yang ditetapkan oleh Islam. Di dalam sembahyang
kita berikrar bahawa ibadah, solat, hidup dan mati kerana Allah swt tetapi
hakikatnya hidup kita tidak menggambarkan ikrar yang kita ucapkan saban hari
itu. Hakikatnya hidup kita tidak menjadi ibadah dan hidup kita sama sekali
bukan untuk Allah. Bagaimana kita mendakwa hidup ini untuk Allah kalau
kehidupan ini kita isi dengan segala perkara yang dibenci olehNYA. Kita juga berikrar
dalam solat bahawa 'kita dari kalangan orang-orang Islam' tetapi hakikatnya
kita tidak pernah melihat orang Islam yang lain sebagai saudara kita. Kita lebih
rela mengutamakan bangsa kita sendiri walaupun mereka tidak berada di atas jalan
yang haq. Tindak tanduk kita sendiri mencermin betapa kosongnya 'ibadah' yang kita
sempurnakan.

Saudara/i netters sekelian. Bukan itu sebenarnya kedudukan ibadah di dalam
kehidupan. Ibadah khusus bukannya suatu ritual yang terpisah dari kehidupan
malah ianya perlu menjadi teras dalam kehidupan kita. Ibadah yang kita
laksanakan seharusnya mampu untuk membentuk akhlaq kita, keluarga kita,
masyarakat kita dan negara kita serta dunia dan isinya. Ibadah solat, puasa
dan haji yang kita sempurnakan seharusnya mampu untuk mencorakkan kehidupan agar
ianya menggambarkan kehidupan seorang muslim. Itulah kedudukan sebenar ibadat
khusus di dalam Islam.

Jika ibadat yang kita lakukan tidak mampu membawa perubahan serta mempengaruhi
kehidupan kita maka sama-samalah kita check diri kita. "Apakah kita faham
mengapa kita melaksanakan semua tuntutan-tuntutan ibadat tadi". Kalau ianya
belum jelas pada diri maka pergilah untuk memdapatkan ilmu dan kefahaman yang
sebenar tentangnya.

Semuga ibadat puasa yang akan kita jalani nanti mampu membentuk kehidupan kita
menjadi kehidupan seorang muslim yang sejati. Ameen ya Rabb.

Hafidzi MN
Aberdeen